Thursday, December 24, 2009

25 Disember

...ini mungkin entri paling panjang...

Apa signifikan tarikh ni dalam hidup setiap orang? Krismas? Cuti?

Aku tak tau la korang, tapi tarikh ni memang signifikan dalam hidup aku. Sebab? 25 Disember ni adalah ulangtahun kelahiran arwah ibu aku yang ke 55 jika dia masih ada. Ibu telah kembali ke rahmatullah pada 8 tahun lepas, tarikh 21 November 2001 jam 2.20 petang.

Apa signifikan entri ini pada aku? Apa signifikan entri ni pada mak aku?

Besar signifikan dia. Entri ini adalah tribute pada mak aku yang aku rasa mak yang paling hebat dalam dunia. Percayalah, tak akan ada gantinya.

Ayah atau aku lebih mesra memanggil pak adalah seorang yang garang dan tegas. Sangat. Mak pula seorang yang penyayang. Kerap dirotan, pasti aku berlari ke arah mak. Tipikal. Setiap anak kecil macam tu. Sebab aku tau marah macam mana pun mak pada aku, mak tak akan pukul aku. Sayangnya dia pada anak-anak dia. Mungkin itulah keseimbangan suatu famili. Betul?

Pernah aku ponteng kelas mengaji. Aku tipu mak dengan alasan atok (atok yang mengajar aku mengaji dulu) sakit perut. Petang itu mak pun mau pergi menziarah atok. Aku gelabah. Kantoi. Menangis aku seorang depan mak. Mak senyum dan berkata " Malam ni pak ang tau, habis la". Reaksinya, lagi kuat aku menangis. Malam tu mak beritahu pak sambil tersenyum. Pak pun tersenyum. Selamat.

Pernah juga aku dihadapkan ke badan disiplin sekolah sebab aku menggunting blazer seorang pengawas dengan tidak sengaja. Guru disiplin mau ibu bapa datang esok. Teka dengan siapa aku beritahu? Ya, pastinya dengan mak.

Satu lagi peristiwa yang membuatkan aku tak lupa. Semasa kecil aku suka tengok gusti. Satu hari aku pergi ke pasar sehari di rumah (orang Perlis panggil nat). Aku nampak baju yang aku minat. Tapi aku mana ada duit. Aku cakap pada mak. Mak beri duit. Kata-kata mak yang membuatkan aku sebak setiap kali aku ingat sampai ke hari ni "Biarlah, dia tak pernah minta apa-apa pun sebelum ni". Sungguh. Aku tak perlu cakap. Aku memang sayang mak.

Setiap minggu ada nat. Mak mesti pergi. Berjalan seorang membeli barang dapur. Setiap minggu mak akan bawa balik laksa. Sebab dia tau itu kegemaran aku. Betapa aku menyesal aku tak pernah mengucapkan terima kasih setiap kali mak membelikan aku laksa. Sampai hari ni, aku masih akan ke nat membeli laksa untuk diri sendiri. Mungkin itu satu cara untuk aku tunjukkan yang aku masih mengingati mak aku.

Dulu mak selalu tak sihat. Dan aku sangat takut. Bercita-cita untuk jadi seorang doktor atas alasan mau menolong mak. Tapi aku tak sempat.

Hari 21 Disember 2001, mak pergi tak kembali. Aku berusia 14 tahun masa tu. Tapi hari tu aku menangis. Menangis sekuat hati. Tak ada siapa yang mampu pujuk. Anak lelaki mak tapi dalam usia yang sedemikian apa saja yang boleh aku buat. Aku hanya mampu menangis. Sepupu aku memujuk, 'life must go on'. Betul. Tapi life will never be the same.

Memang. Memang ini suatu dugaan. Memang ada yang menghadapi dugaan yang lebih teruk. Dan memang aku tak patut merungut, tapi sungguh aku rindu.

Kerap aku mendengar kawan-kawan bercerita mau pulang ke rumah jumpa mak. Mak maki sebab result teruk lah. Sembang dengan mak pasal boyfren/girlfren lah. Mak panggil balik jaga adik lah. Mak suka nyakat lah.

Banyaklah.

Dan sumpah aku jeles. Dan bila ada penceritaan sedemikian, aku terdiam dan tersenyum hipokrit. Seronok dan sebak dalam satu masa.

Aku bukan lelaki yang mampu meluahkan segala isi hati (trait yang aku perolehi dari ayah aku), tapi dalam hal ni aku sedar. Aku memang rindu. Dan aku memang tak bersedia untuk semua ini.

Aku tak mungkin pandai menulis sesuatu untuk mak. Hanya ini yang mampu aku ungkapkan. Maaf, tak ada gambar mak dalam bentuk digital. Esok aku tulis lagi tentang mak aku. Aku tak memaksa kamu membaca. Aku menulis kerna ini saja ruang luahan aku.

Esok 25 Disember 2009. Orang lain sambut Krismas. Bagi aku, aku akan menyambut ulang tahun emak aku yang ke 55 jika dia masih ada. Dan aku harap kalau dia masih ada dia boleh tersenyum.

"8 tahun tanpamu bukanlah suatu perjalanan yang mudah"

Hargailah apa yang kamu ada kerna kamu tak akan tau bila kamu akan kehilangannya.

Fin.

9 comments:

liyanadirah said...

abg naz tamo sdey2
mak leha ada!

HDS voice said...

abg naz...
mak kamoo psti bangge dgn kamoo
al-fatihah byk2 k..

Nazrin Saad said...

mira, itu satu pernyataan yg terlalu gah! aku tak pasti tentang itu...

yana, leha itu seorang adik, mana mungkin jadi mak...mak mana ada ngutuk anak dia Nepal!

PaLi3 said...

tuhan tidak akan menguji hambanya dgn dugaan yg hambanya tidak tertggung...

Lemonades Of Life said...

hg buat ak nanges sedu2 kat sini..
rindu dowh!!!
waaaaa......

Unknown said...

relax2...walau tempat ibu itu tak dapat diganti..
tapi kamu masih ada teman2 yang sentiasa disebelah..erk..mungkin..hehe

izanmuslimin89 said...

rasa xnk komen...tp tgn ni pi gatal tekan plak...
Al-Fatihah...
semoga beliau ditempatkan dikalangan org2 yg diberkati Allah s.w.t.

widda_me said...

for the first time ek..

first time...

wida bc entry abg naz yg plg best...

(selama ni tak best???mati la ak...)

nadrahfihil said...

akan lbh menghargai insan yang bernama mak. thank u.