Friday, December 27, 2013

Drama Melayu Bodoh Salah Tun M


Sekarang ni kerap betul orang komen drama dan filem Melayu ni bodoh. Asyik-asyik berkisar tentang cerita yang sama. Kalau tak hantu, cerita gangster. Nak lagi blockbuster, cerita hantu gangster.

Jadi aku ada buat sedikit kajian mengenai benda ni.

Aku perhati drama Melayu yang bukan tema hantu, gangster dan rempit memang orang tak akan pergi panggung. Contohnya tahun ni KIL. Tahun-tahun lepas Bunohan. Kalau drama pula asal buat cerita genre kahwin paksa mesti meletop.

Genre sebegitu dikatakan genre bodoh. Jadi memandangkan genre tersebut mendapat sambutan hangat, memadailah jika aku katakan rakyat Malaysia itu bodoh termasuk jiran-jiran anda yang menonton rancangan tersebut. Tapi genre bodoh itu adalah formula yang berfungsi.

Tapi dari mana silapnya?

Aku salahkan Tun M.

Kalau kau putar balik masa ke zaman 90an, Doktor Mahathir baru saja merasmikan Dasar Pandang ke Timur dan Wawasan 2020. Di bawah rejim beliau, sains adalah satu benda penting demi menjamin kemajuan Malaysia pada masa akan datang.

Sebagai contoh dia yang perkenalkan PPSMI.

Budak-budak Sastera dianggap second class citizen. Budak yang dapat 20A dilarang mengambil Sastera kerana Sastera dianggap kursus bodoh berbanding Sains yang dikatakan dapat menjana pemikiran dan kemajuan negara.

Jadi kita yang dibesarkan dalam era 90an mendapat satu persepsi iaitu saintis, jurutera dan doktor adalah pekerjaan kelas pertama. Pengarahan, penulisan, malah lakonan semata-mata hanya diangkat sebagai hiburan.



Layar Lara dikatakan filem terbaik Suhaimi Baba sebelum dia mula mengutamakan filem-filem 'sejarah'.



Adik Manja (pada tahun 80an kalau tak silap) adalah satu komedi yang sangat refreshing yang sekarang aku hanya dapat tonton di dalam drama Jepun.

Jadi tak hairanlah selepas era 90an filem Malaysia terus merudum. Jangan kata pelakon, penyanyi Malaysia pada alaf baru ini pun tak ramai yang boleh dibanggakan.

Sebab tu aku salahkan Tun M. 

Kalau Tun M tak memberatkan Sains, maka ramailah budak pandai yang ada pilihan untuk ambil Sastera dan mungkin dia boleh menjadi seorang penulis karya yang bagus untuk dinaikkan ke layar perak.

Tapi kini kita hanya menyalahkan penulis kerana karya bodoh yang kita lihat.

Hakikatnya perkara ini sudah lama berakar umbi dari 20 tahun yang lalu.

Jadi ya aku salahkan Tun M.

Dah la aku nak pergi tengok Maharaja Lawak Mega. Cakap banyak pun bukan korang faham.

fin.



Saturday, August 3, 2013

Dunia Kita : Bukan Penghargaan


Antara ayat-ayat pertama tentang dunia editorial drama Melayu yang aku dengar ialah :

" Sini bukan Hollywood. Editor di sini tak disanjung tinggi seperti editor di sana."

Bukan aku peduli. Kalau aku nak disanjung dan muka keluar paper tiap-tiap hari baik aku masuk parti politik atau jadi artis. Tapi realitinya di bumi bertuah ini (baca : Malaysia) kita hanya sanjung apa yang kita nampak - bukan apa yang kita rasa.

Mari ambil contoh dunia filem/drama di bumi bertuah ini. Berapa banyak festival atau anugerah yang diadakan saban tahun untuk meraikan pelakon-pelakon? Anugerah Skrin, Anugerah Blockbuster, FFM dan entah apa lagi.

Kenapa?

Bukan aku mahu pertikai rezeki penggiat seni dalam klasifikasi seni lakon. Biarlah. Lantaklah. Itu rezeki mereka. Cuma aku mahu pertikai kenapa watak-watak di belakang tabir tidak diberi penghormatan?

Tatarias. Bolehkah cerita hantu jadi takut lagi menyeramkan tanpa make up yang menjadi?

Busana. Bagaimana agaknya cerita epik Hikayat Merong Mahawangsa jika bahagian busananya bersikap sambil lewa?

Secara metaforanya, pembikinan filem dan drama ibarat sebuah mesin mekanikal yang kompleks. Pelakon, pengarah, jurumekap dan segala bagai jawatan ibarat jentera kecil yang menyokong mesin kompleks ini untuk berfungsi dengan sempurna.

Tanpa satu jentera kecil, mungkin mesin kompleks ini dapat beroperasi, namun tahap kecekapannya akan berkurangan. 

Kesimpulannya, tak ada satu benda yang bagus dapat dihasilkan dari satu benda tunggal. Ibarat kopi ; dengan campuran gula dan serbuk kopi (kadangkala krimer bagi yang punya selera itu) dalam skala yang bersesuaian mampu menghasilkan rasa yang mampu mendatangkan orgasm di tekak. Jadi adalah sangat kurang berakal jika kita hanya memuji kopi di atas euphoria rasa sedangkan tanpa gula (dan krimer bagi yang punya selera begitu) rasa itu tidak akan jadi realiti.

Tak. Aku bukan minta penghargaan. Aku cuma mahu kesedaran. Kesedaran bahawa kadang-kadang sesuatu yang bagus dan menyenangkan bukan hanya datang dari apa yang kita lihat.

p/s : di dalam Academy Awards, setiap anugerah diberi dengan label 'Achievement in...' atau 'Pencapaian dalam...' menurut bahasa bumi bertuah ini, bukan dengan label (insert) Terbaik.
fin.

Tuesday, June 11, 2013

Aku Yang Tenang : Edisi Summer Camp & Awek Pakai Fedora


The thing is, aku tak ada benda mahu tulis di sini.

Tapi the thing is, aku masih mahu tulis di sini.

Ini cerita. Cerita lama. Tak ada lama mana. Tapi dah lepas. Jadi lama lah. Ikut definisi lama masing-masing.

Ada orang ajak pergi Summer Camp.

Aku tenang. Aku tolak cara baik. Aku nak hindarkan maksiat. Bukankah itu yang dituntut?

Setelah ditolak cara baik, orang itu tenang terima cara baik. Aku senyum, dia senyum - aku rasalah sebab kami hanya berkomunikasi menggunakan SMS.

Dan kemudian, dia kata - atau lebih tepat dia taip menggunakan henset pinjamnya :

"ramai orang rindu lu"



Awwwwwww, sho shweeetttt.

Aku tak balas sebab tak ada kredit. Tapi kalau boleh balas mungkin aku akan cakap 'aku tak gay'.

Dan semestinya aku akan jawab aku dah ada teman wanita. Wanita pakai fedora berlatarkan kota cowboy di fesbuk.

Ya. Saya sayang wanita pakai fedora saya.

Jadi itu dia cerita saya.

fin.

Thursday, May 2, 2013

Review : ASRAMA Oleh Muhammad Fatrim

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEheo-acQmLUL4FLgUjkAHSbkNJ-PGlynMUSvwUDRILDOg6Lrqmt11AH4qOQD0YnKHhwH_JN-TXj4NGOdbJeUDzrkk4IV977mmOH_nc0Ko8sraBWAUmoC0Rms0eBnQLk55c5ZZLuRb6Zq4-U/s1600/ASRAMA+2.bmp

Sudah kurang perkara yang aku boleh tulis di blog. Jadi buat pertama kali, mari review buku.

Asrama aku beli pada Pesta Buku Antarabangsa di PWTC Ahad lepas. Ini adalah novel FIXI yang paling pantas aku baca - aku telah habiskan dalam sehari.

Bagi aku, tarikan utama Asrama adalah latar tempatnya di Sabah. Memandangkan novel ini bertema seram, cerita-cerita 'folklore' dari Sabah telah digunakan dengan baik oleh penulis untuk membawa rasa 'boleh percaya' di dalam novel ini. Malah, latar asrama juga kita dah sedia maklum banyak cerita seramnya sendiri. Makcik karipap lah, hantu kira katil dan sebagainya.

Susunan plot yang cantik menyebabkan pembaca terus meneka-neka siapa yang sahih, siapa yang palsu di dalam novel ini.

Namun, secara peribadi, bagi aku sendiri, aku tak suka akan penamat novel ini. Ianya menarik tapi ia telah membuka kembali pelbagai persoalan yang nampak seperti sudah terjawab. Tak perlu aku jelaskan apa penamatnya, cukuplah sekadar ianya telah membawa rasa anti klimaks pada aku.

Apa pun, ianya adalah novel yang segar. Aku sering mendengar kisah pengait kepala, tapi ini adalah fiksyen pertama aku baca mengenainya. Ketakutan yang realistik bagi aku - yang telah digunapakai oleh penulis Asrama - adalah takut dengan sifat kejam dari diri manusia itu sendiri.

2.5 bintang untuk Asrama.

fin.

Sunday, April 14, 2013

Cegampang


"Awak ni cegampang la," kata gadis rambut brunette seraya mengunyah keropok leko dengan berhati-hati.

"Cegampang tu mende?" tanya aku selamba sambil memasukkan kaki ke dalam air sungai. Sejuk.

"Figure it out lah," katanya sambil bertukar menjadi ikan duyung dan terjun ke dalam sungai tersebut.

Celaka. Jenis bagitahu cerita tak habis.

Cegampang.

fin.

Tuesday, April 2, 2013

Nak Makan Mana?


Ismeth adalah seorang pengembara. Kerjanya mengembara ke seluruh dunia bagi mencari haiwan-haiwan eksotik untuk dijual kepada kerajaan Korea Utara. Walaupun kerjanya sukar, namun ganjarannya lumayan.

Setelah keluar dari hutan hujan Amazon – dengan calar-balar dan luka di seluruh badan – Ismeth diberikan bonus tiga bulan gaji oleh majikannya.

Tiga bulan di dalam hutan hujan Amazon bagi mencari siput yang bercahaya waktu malam bukan kerja senang. Malah di dalam hutan hujan Amazon, talian Maxis sukar diperoleh, Digi apatah lagi. Ini menyebabkan Ismeth telah terputus hubungan dengan dunia luar selama tiga bulan.

Oleh itu, Ismeth menyimpan azam untuk membalas semua SMS yang tertunggak dan menjalinkan kembali hubungan yang terputus.

Lebih baik aku mulakan dengan Is dan Rohani, fikir Ismeth. Mereka baru sahaja bernikah dua setengah bulan yang lepas dan aku tak dapat hadir kerana aku aku berada di hutan hujan Amazon pada masa itu. Mereka pasti kecil hati. Jadi baik aku belanja mereka makan sebagai tanda minta maaf, cadang Ismeth pada dirinya sendiri.


***

Is dan Rohani adalah pasangan yang secocok.  Seorang lelaki tegap dan macho dan seorang gadis comel yang tegas namun masih mengamalkan sifat-sifat kewanitaan yang terpuji. Mereka baru saja mendapat panggilan dari teman lama mereka – Ismeth – yang mengajak mereka keluar makan.

Sebagai seorang Melayu yang hipster, Is dan Rohani bersiap awal sambil menunggu Ismeth.

Sebuah kereta Proton Saga Anti Graviti diparkir serong di hadapan Is dan Rohani. Ismeth menjenguk keluar.

“Is, Rohani. Masuklah.”

Setelah pasangan baru berkahwin itu memasuki kereta tersebut, Ismeth pun berjabat tangan dengan Is – Ismeth tidak boleh berjabat tangan dengan Rohani memandangkan Rohani bukan mahram dengannya, malah dia juga bimbang akan ditumbuk Is kalau dia menyentuh kulit Rohani.

“Kau ni Ismeth, bukankah seorang pengembara yang tersohor? Kenapa kau tak tukar kereta lagi?” Is memulakan perbualan.

“Aku selesa dengan kereta ni. Malah, kereta ni ada nilai sentimental dengan aku. So, kita nak makan di mana ni?”
“Ikut awak la Ismeth. Awak yang nak belanja kan?” kata Rohani pula.

“Ah, tak boleh la begitu. Ini kan hadiah hari perkahwinan kamu berdua. Biar kamu yang buat keputusan.”

“Aku ikut Rohani.” Is membuat keputusan.

“Eh, I ikut you la sayang,” kata Rohani pula.

“Eh, I tak tahu la ayang.”

“Jadi macam mana ni? Nak makan ikan todak masak lemak?” kata Ismeth.

“Tak naklah. Aku allergic,” kata Is.

“Jadi kita nak makan mana?” tanya Ismeth.

“Tak tau.”

“Rohani?”

“Tak tau.”

“Mana boleh tak tahu, ini kan soalan yang mudah. Lagipun negara kita kan dipenuhi pelbagai makanan samada makanan yang berkhasiat ataupun tidak. Jadi jawablah soalah mudah aku. Kita nak makan mana?”

“Eh aku tak tahu la Ismeth. Ikut kau la.”

“Mana boleh ikut aku. Kamu berdua la buat keputusan ni.”

“Tapi kami tak tahu nak makan mana,” kata Rohani.

Muka Ismeth membulat merah padam.

Ismeth buka mulutnya menampakkan gigi geraham yang besar. Lantas Ismeth menelan Is dengan sekali sedut. Rohani yang berada di tempat duduk belakang hanya mampu melihat suaminya ditelan hidup-hidup oleh sahabat baiknya. Dia cuba melarikan diri, namun kereta Proton Saga Anti Graviti itu sedang diparkir pada ketinggian 80 meter di udara.

Setelah menelan Is, Ismeth menoleh ke belakang memandang Rohani.

“Jadi makan di sini saja, boleh?” kata Ismeth sambil membuka mulutnya luas-luas untuk menelan Rohani.

fin.

Friday, February 15, 2013

Lelaki Metroseksual vs Mamak


Siapa tak suka masakan mamak? Saban hari ada saja mulut yang menjamah di sana. Kalau betul ini dunia pasca apokalips sekalipun, aku yakin kedai mamak tak akan tutup. Terus komited dengan slogan kedai 24 jamnya.

Mamak harus diberikan tabik hormat. Bukan kerana dia mampu hafal 13 jenis makanan dalam sekali hela nafas. Bukan kerana dia mampu pikul 10 gelas minuman hanya dengan tulang 4 kerat.

Tapi kerana sifat dedikasi dan tahan sabarnya.

Lelaki metroseksual pula harus diberikan penyepak. Ya! Datang ke mamak dengan baju tanpa lengan, menonjolkan lengan separa tembam dan putih melepak. Seluar pendek menampakkan betis kenyal tanpa bulu. 

Dan yang paling celaka, lagak seperti kedai mamak itu istana milik ayahanda tercinta. Santapan harus tiba kurang 0.03 saat setelah diberi arahan. Pekerja harus sopan dan patuh, daulat mesti terjaga. Sembah mesti dengan penuh tatatertib.

Jika tidak, penumbuk naik ke muka!

Ah, aku benci lelaki metroseksual.

Jom mamak! Aku seru anda semua, bangkit! Berdiri di belakang aku, dan katakan tidak pada lelaki metroseksual!

fin.

Wednesday, February 13, 2013

Lama Aku Tatap...


Lama aku tatap skrin putih ini. Kubiarkan kosong, terisi lohong tak bernyawa. 

Mungkin sudah tiba masa kosong itu terisi, nyawa itu diberi.

fin.