Antara ayat-ayat pertama tentang dunia editorial drama Melayu yang aku dengar ialah :
" Sini bukan Hollywood. Editor di sini tak disanjung tinggi seperti editor di sana."
Bukan aku peduli. Kalau aku nak disanjung dan muka keluar paper tiap-tiap hari baik aku masuk parti politik atau jadi artis. Tapi realitinya di bumi bertuah ini (baca : Malaysia) kita hanya sanjung apa yang kita nampak - bukan apa yang kita rasa.
Mari ambil contoh dunia filem/drama di bumi bertuah ini. Berapa banyak festival atau anugerah yang diadakan saban tahun untuk meraikan pelakon-pelakon? Anugerah Skrin, Anugerah Blockbuster, FFM dan entah apa lagi.
Kenapa?
Bukan aku mahu pertikai rezeki penggiat seni dalam klasifikasi seni lakon. Biarlah. Lantaklah. Itu rezeki mereka. Cuma aku mahu pertikai kenapa watak-watak di belakang tabir tidak diberi penghormatan?
Tatarias. Bolehkah cerita hantu jadi takut lagi menyeramkan tanpa make up yang menjadi?
Busana. Bagaimana agaknya cerita epik Hikayat Merong Mahawangsa jika bahagian busananya bersikap sambil lewa?
Secara metaforanya, pembikinan filem dan drama ibarat sebuah mesin mekanikal yang kompleks. Pelakon, pengarah, jurumekap dan segala bagai jawatan ibarat jentera kecil yang menyokong mesin kompleks ini untuk berfungsi dengan sempurna.
Tanpa satu jentera kecil, mungkin mesin kompleks ini dapat beroperasi, namun tahap kecekapannya akan berkurangan.
Kesimpulannya, tak ada satu benda yang bagus dapat dihasilkan dari satu benda tunggal. Ibarat kopi ; dengan campuran gula dan serbuk kopi (kadangkala krimer bagi yang punya selera itu) dalam skala yang bersesuaian mampu menghasilkan rasa yang mampu mendatangkan orgasm di tekak. Jadi adalah sangat kurang berakal jika kita hanya memuji kopi di atas euphoria rasa sedangkan tanpa gula (dan krimer bagi yang punya selera begitu) rasa itu tidak akan jadi realiti.
Tak. Aku bukan minta penghargaan. Aku cuma mahu kesedaran. Kesedaran bahawa kadang-kadang sesuatu yang bagus dan menyenangkan bukan hanya datang dari apa yang kita lihat.
p/s : di dalam Academy Awards, setiap anugerah diberi dengan label 'Achievement in...' atau 'Pencapaian dalam...' menurut bahasa bumi bertuah ini, bukan dengan label (insert) Terbaik.
fin.