Sunday, April 14, 2013

Cegampang


"Awak ni cegampang la," kata gadis rambut brunette seraya mengunyah keropok leko dengan berhati-hati.

"Cegampang tu mende?" tanya aku selamba sambil memasukkan kaki ke dalam air sungai. Sejuk.

"Figure it out lah," katanya sambil bertukar menjadi ikan duyung dan terjun ke dalam sungai tersebut.

Celaka. Jenis bagitahu cerita tak habis.

Cegampang.

fin.

Tuesday, April 2, 2013

Nak Makan Mana?


Ismeth adalah seorang pengembara. Kerjanya mengembara ke seluruh dunia bagi mencari haiwan-haiwan eksotik untuk dijual kepada kerajaan Korea Utara. Walaupun kerjanya sukar, namun ganjarannya lumayan.

Setelah keluar dari hutan hujan Amazon – dengan calar-balar dan luka di seluruh badan – Ismeth diberikan bonus tiga bulan gaji oleh majikannya.

Tiga bulan di dalam hutan hujan Amazon bagi mencari siput yang bercahaya waktu malam bukan kerja senang. Malah di dalam hutan hujan Amazon, talian Maxis sukar diperoleh, Digi apatah lagi. Ini menyebabkan Ismeth telah terputus hubungan dengan dunia luar selama tiga bulan.

Oleh itu, Ismeth menyimpan azam untuk membalas semua SMS yang tertunggak dan menjalinkan kembali hubungan yang terputus.

Lebih baik aku mulakan dengan Is dan Rohani, fikir Ismeth. Mereka baru sahaja bernikah dua setengah bulan yang lepas dan aku tak dapat hadir kerana aku aku berada di hutan hujan Amazon pada masa itu. Mereka pasti kecil hati. Jadi baik aku belanja mereka makan sebagai tanda minta maaf, cadang Ismeth pada dirinya sendiri.


***

Is dan Rohani adalah pasangan yang secocok.  Seorang lelaki tegap dan macho dan seorang gadis comel yang tegas namun masih mengamalkan sifat-sifat kewanitaan yang terpuji. Mereka baru saja mendapat panggilan dari teman lama mereka – Ismeth – yang mengajak mereka keluar makan.

Sebagai seorang Melayu yang hipster, Is dan Rohani bersiap awal sambil menunggu Ismeth.

Sebuah kereta Proton Saga Anti Graviti diparkir serong di hadapan Is dan Rohani. Ismeth menjenguk keluar.

“Is, Rohani. Masuklah.”

Setelah pasangan baru berkahwin itu memasuki kereta tersebut, Ismeth pun berjabat tangan dengan Is – Ismeth tidak boleh berjabat tangan dengan Rohani memandangkan Rohani bukan mahram dengannya, malah dia juga bimbang akan ditumbuk Is kalau dia menyentuh kulit Rohani.

“Kau ni Ismeth, bukankah seorang pengembara yang tersohor? Kenapa kau tak tukar kereta lagi?” Is memulakan perbualan.

“Aku selesa dengan kereta ni. Malah, kereta ni ada nilai sentimental dengan aku. So, kita nak makan di mana ni?”
“Ikut awak la Ismeth. Awak yang nak belanja kan?” kata Rohani pula.

“Ah, tak boleh la begitu. Ini kan hadiah hari perkahwinan kamu berdua. Biar kamu yang buat keputusan.”

“Aku ikut Rohani.” Is membuat keputusan.

“Eh, I ikut you la sayang,” kata Rohani pula.

“Eh, I tak tahu la ayang.”

“Jadi macam mana ni? Nak makan ikan todak masak lemak?” kata Ismeth.

“Tak naklah. Aku allergic,” kata Is.

“Jadi kita nak makan mana?” tanya Ismeth.

“Tak tau.”

“Rohani?”

“Tak tau.”

“Mana boleh tak tahu, ini kan soalan yang mudah. Lagipun negara kita kan dipenuhi pelbagai makanan samada makanan yang berkhasiat ataupun tidak. Jadi jawablah soalah mudah aku. Kita nak makan mana?”

“Eh aku tak tahu la Ismeth. Ikut kau la.”

“Mana boleh ikut aku. Kamu berdua la buat keputusan ni.”

“Tapi kami tak tahu nak makan mana,” kata Rohani.

Muka Ismeth membulat merah padam.

Ismeth buka mulutnya menampakkan gigi geraham yang besar. Lantas Ismeth menelan Is dengan sekali sedut. Rohani yang berada di tempat duduk belakang hanya mampu melihat suaminya ditelan hidup-hidup oleh sahabat baiknya. Dia cuba melarikan diri, namun kereta Proton Saga Anti Graviti itu sedang diparkir pada ketinggian 80 meter di udara.

Setelah menelan Is, Ismeth menoleh ke belakang memandang Rohani.

“Jadi makan di sini saja, boleh?” kata Ismeth sambil membuka mulutnya luas-luas untuk menelan Rohani.

fin.