Monday, June 22, 2009

Bentuk-bentuk Motivasi

Sila lihat ini untuk maklumat yang lebih detail dan bermakna...

Erm, kata-kata Widda betul-betul memberikan motivasi pada semua..
"Sebesar-besar Widda, impian yang Widda simpan ni lagi besar dari tu.."

Itu impian Widda.. Produksi yang selebihnya, adakah punya impian? Pelakon yang bertungkus-lumus tak nak punya impian?

Aku tak tau mereka.. Tapi aku pun ada impian.. Mungkin tak sebesar Widda, tapi aku ada impian aku. Aku mau lihat semua buat 100% dan puas dengan apa yang diusahakan.

Seperti apa yang aku suarakan pada Joyah, bangun dan tersenyum kalau dah terjatuh. Kali ni, kawan-kawan.. Kali ni adalah peluang kita.. Berada di sini dalam 3 hari, namun peluang yang kamu semua berikan amatku hargai..

Aku nak buat sesuatu untuk semua. Aku nak buat yang terbaik dan aku nak melangkah keluar dengan kepuasan.

Aku tak tau mereka macam mana. Aku tak tau jalan mana yang mereka akan pilih. Tapi, at least, aku tau ni.. Destinasi akhir kami pasti sama...

GOOD LUCK KTR!!

Sunday, June 7, 2009

Keluar Bersama Pari-pari Berwajah Bengis

Sudah lama kami berjanji untuk berjumpa. Maka, semalam aku berjumpa dengan pari-pari yang berwajah bengis itu. Nun di stesen KTM.

Berdasarkan nama, pari-pari yang berwajah bengis itu memang bengis. Dia enggan senyum walau sejenak. Tapi aku gagahkan jua. Dah aku yang nak keluar dengan dia kan.

Destinasi aku dan pari-pari yang berwajah bengis itu adalah Times Square. Kata pari-pari yang berwajah bengis itu dia mahu membeli cooler. Agaknya supaya laptop dia cool. Dalam hatiku, aku bertanya, adakah cooler untuk pari-pari yang berwajah bengis ini? Mungkin dia tidak sebengis ini jika ada cooler yang berkesan untuknya.

Sesudah itu, aku dan dia duduk. Dengan wajah bengis, pari-pari yang berwajah bengis itu berbual denganku, hal syurga dan hal kehidupan. Aku duduk mendengar, kadangkala memberi pendapat sambil menjeling kepada sayap pari-pari yang berwajah bengis itu.

Akhirnya, tibalah masa untuk kami membawa haluan masing-masing. Aku mahu pulang ke rumah. Dia mahu pulang ke syurga.

Aku senyum padanya. Dia masih lagi bengis. Dan terus terbang pulang ke syurga. Aku senyum lagi.

Minggu depan aku mau keluar lagi bersama pari-pari yang berwajah bengis. Sungguh. Aku mau.

Friday, June 5, 2009

Kisah Aku dan Bidadari

Hari ni jumpa bidadari lagi.
Aku tenung dia, "Selamat Pagi" kataku.
Dia tenung balik, "Selamat Pagi" katanya.

Dan masing-masing menoleh ke arah destinasi sendiri.

Petang itu, aku jumpa dia juga.
Aku senyum, "Petang" kataku.
Dia senyum, "Petang" katanya.

Dan dia terbang pergi..

Esok aku pasti jumpa dia lagi.
Esok aku pasti ungkapkan itu.
Tiga patah kata keramat itu
"Aku cintakan kau"

Esoknya, aku jumpa dia lagi
Aku tenung dia lagi, "Selamat Pagi" kataku
Dia tenung balik, "Selamat Pagi" katanya

Petang itu, aku masih jumpa dia juga
Aku senyum, "Petang" kataku
Dia senyum, "Petang" katanya

Sambil terbang pergi

Arhhhh, biarlah
Esok masih ada, bisikku sambil tersenyum riang pulang

Tapi aku tak tahu
Ini adalah hari terakhir bidadari itu di bumi

Esok, dia takkan ada lagi di sini
Buat selamanya

Wednesday, June 3, 2009

Ini Aku...

"Kita takkan belajar menghargai selagi kita tak pernah hilang apa yang kita sayangi."

Ramai yang pernah dengar ungkapan ini.
Ramai yang pernah menggunakan ungkapan ini.

Tapi dalam ramai-ramai tu, siapa saja yang pernah rasa apa yang diungkapkan itu?

Aku pernah, dan aku sedang merasainya.

Jadi biarlah aku kembali ke dalam kepompongku.
Sendiri menanti.

Menanti masa untuk aku keluar dengan jiwa baru.

Sunday, May 24, 2009

Legenda Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta

Lagenda Diilhamkan…

Malam tu HAKERA, Family Day. Fatin, Mat, Paan, Pnat, Palie dan Nana memikul tanggungjawab melakonkan sketsa Lif. Sketsa berjaya. Ramai yang terhibur. Lantas Abg Safwan dan aku meluahkan sesuatu. Satu soalan yang bakal merubah banyak hal. “FTU nanti korang nak buat cerita apa?”

Legenda Dilahirkan…

Di tengah kekalutan untuk peperiksaan akhir sesi 2007/2008, kami giat mencari naskhah untuk tatapan dan pilihan bersama. Aku dan Abg Safwan giat menyelongkar skrip-skrip lama yang pernah dipentaskan KTR, Titik-titik Hitam, Sally dan Hitam. Ahhh, cliché kataku. Takkan nak buat benda yang sama. Pasti akan ada protes. ‘Eleh, tiru KTR la tu’. Skrip tersebut terpaksa diketepikan dulu. Paan jua tak lupa membawa skrip yang diambil dari UPM. Satu skrip aku dah tak ingat tajuknya tapi terlalu berat untuk dijadikan reality. Tapi lagi satu naskhah menarik perhatian kami semua. Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta.

Lagenda Untuk DOT…

Setelah habis mengkaji semua skrip, maka tibalah masa untuk memilih skrip. Jelas, bukan mudah untuk memilih skrip. Namun, ahli semua berpakat untuk memilih naskhah Superptuih. Aku jelas membangkang. Pengalaman lakonan yang cetek. Pengetahuan teknikal yang tak seberapa. Mana mungkin kami mampu membawa naskhah ala-ala surealis. Kemudian, kata-kata Huzei merubah pendirianku. Ya, aku masih ingat. “Abg, why not kita cuba dulu? Kita mesti boleh buat punya.”

Lagenda Yang Asal..

Setelah memilih skrip, langkah seterusnya pastilah memilih pelakon. Ptuih, watak pemberontak dalam cerita ini. Helium, anak sulung yang tidak punya pendirian. Maseh Dara, anak perempuan sundal dalam keluarga. Pegawai keselamatan, watak kecil yang boleh merubah suasana. Watak Maseh Dara merupakan pilihan yang senang untukku dan Abg Safwan. Fatin. Watak Helium pula setelah dibincangkan, kami bersetuju untuk mengambil Huzei. Ptuih bukanlah satu pilihan yang mudah. (Mat tak casting pada peringkat awal kerana beliau diambil sebagai pengarah) Paan, Palie dan D merupakan calon utama pada awalnya. Tapi kata Abg Safwan, Azmeir juga berkebolehan kerana wajahnya yang dikatakan ala-ala pemberontak. Ahhhh, penat juga kami berfikir, akhirnya Paan juga yang dipilih. Sebab dia yang paling kacak antara semua pilihan yang ada. Maka, semua sudah sedia, dengan D mengambil watak Pengawal Keselamatan, Palie sebagai Audio, Yana sebagai Kostum, P-Nat sebagai setting, Misal sebagai lighting, Waney sebagai Muzik, Nana sebagai Props, Fafa sebagai Make Up dan Azmeir sebagai Pengarah Produksi.

Lagenda dalam Pergolakan...

Kami menetapkan cuti semester sebagai tempoh latihan kami. Minggu pertama semua berjalan lancar, hanya dengan olah tubuh dan suara. Kadang-kala dilihat oleh Abg Haikal dan Abg Rajern. Namun, pada akhir bulan Mei, Huzei terpaksa menarik diri atas sebab-sebab peribadi. Pening. Pening memikirkan penyelesaian. Namun tak lama, kerana sejurus selepas penarikan diri Huzei, Mat terus dibawa masuk menggantikan Huzei. D juga menjelaskan bahawa dia juga tak boleh berlakon. Kerana sibuk dengan praktikal. Lantas Azmeir mengambil alih. Ahhh, perjalanan harus diteruskan walau apa jua. Pengalaman mengajar kami untuk terus berusaha.

Lagenda Terhasil…

Kemasukan pelajar baru ibarat satu nafas baru buat kami. Waney memperolehi protégé baru, Roy dan Chew. Pnat dan Yana juga punya anak didik setting dan kostum yang baru. Aku kian semangat. Semangat untuk meneruskan usaha. Untuk tidak membazirkan hasil usaha kami. Dua kali kami mengadakan rehersal di hadapan pelajar KDO, pelbagai komen aku perolehi. Dan banyak juga yang terpaksa kami usahakan pada minit-minit terakhir. Dan aku takkan lupa malam luahan perasaan itu. Kerana pada malam itu, terbukti aku dan adik-adikku hanyalah manusia.

Lagenda Memuncak…

Dan pada Jumaat malam, Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta dipentaskan di depan khalayak Panggung Seni. Apa yang berlaku atas pentas memang suatu yang tidak boleh dielakkan. Namun setelah setting dijatuhkan, aku dapat merasakan suatu kepuasan. Alhamdulilah. Kami merangkul tempat kedua dan anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik dengan Paan dan Fatin turut tercalon untuk anugerah pelakon lelaki dan perempuan terbaik. Kata Juri, sebelum pementasan KTHO, kami sentiasa di atas.

Setahun selepas lagenda…

Sudah hampir setahun. Aku gambarkan kejayaan Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta sebagai pencapaian terunggul aku dalam dunia teater. Kini, sekali lagi Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta bakal dipentaskan. Kali ini di pentas Selangor. Aku pasti merindui saat manis bersama. Kerna Superptuih! Dan Transit Kaler Magenta sudah berada dalam nadiku. Sudah menjadi darah dagingku. Ayat terakhir Helium masih dalam ingatanku…

“Bertindak atau tidak, itu soalnya….”

Saturday, May 9, 2009

Gadis Dari Sungai Petani Eps 5

Geleng kepala.

Dan geleng lagi.

Kau ingat tak apa nama kau? Rumah kat mana? Apa kau buat kat sini? Ada saudara tak kat sini? Agaknya pasti dah boleh teka jawapan dia untuk semua soalan di atas.

Ya. Geleng. Untuk semua soalan yang aku tanya.

Pasti aku tak berada di sini kalau semua soalan peperiksaan dan kerja-kerja di pejabat aku boleh dijawab sedemikian rupa. Hanya toleh ke kiri, kanan dan kiri semula. Macam formula untuk melintas jalan. Kiri, kanan dan kiri semula. Maka semua soalan di dunia ini telah terjawab.

Ahhhh, terlupa pula aku gadis ni ada penyakit ‘lupa diri’. Atau amnesia dalam bahasa saintifik perubatannya.

“Saya cuma tau saya dari Sungai Petani sebab tiket bas yang jumpa dalam poket saya tu. Tapi saya tak ingat asal saya mana. Saya nak balik ke Sungai Petani pun tak cukup duit. Lagipun saya nak pi mana kat sana?”

Sah. Memang orang Sungai Petani. Atau lebih tepat lagi orang Utara. Lantak la orang Sungai Petani ke, Alor Setar ke, Kangar, Butterworth, Jelutong. Yang aku tau dia ni memang orang Utara. Macam mana aku tahu?

‘nak pi mana’

“Bila saya sedar, doktor tu cakap sepupu saya yang bawa saya ke sini. Jadi dia bagi alamat ni sebab dia dah cuba telefon tapi tak dapat.”

Oh. Pasal sepupu tu. Bijak Safwan. Kau memang bijak. Ok. Pengajaran untuk hari ni, kalau nak menipu minta tolong fikirkan kesan dan akibat penipuan anda. Sebagai contoh, kalau anda ingin menipu seorang doktor bahawa pesakit yang anda langgar adalah sepupu anda, sedangkan anda langsung tidak mengenali pesakit tersebut (hanya mengenali dia dengan panggilan Gadis dari Sungai Petani binti Abdullah). Oleh itu, jangan la membabi-buta memberi alamat sendiri kepada jururawat bertugas. Ini disebabkan, pesakit tersebut boleh datang ke rumah anda kelak.

Bodohnya!! Sepatutnya aku bagi alamat Iskandar Tembam ja. Iskandar Tembam tu suka sangat kalau ada perempuan datang rumah dia. Biarlah perempuan tu hanya datang sekadar nak jual Tupperware sekalipun.

“Kau rasa aku ni sepupu kau ke bila kau dah jumpa aku ni?”

Cuba teka reaksi atau jawapan dia untuk soalan aku ni?

“Jadi apa yang kau nak buat sekarang ni?”

Kali ni dia diam, menunduk ke bawah. Perlahan-lahan dia menggeleng lagi. Rambutnya jatuh menutupi wajahnya.

“Tak ada siapa-siapa yang kau ingat ke? Saudara? Keluarga?”

Dia diam kali ni. Tak lagi menggeleng. Badan dia yang agak berisi itu tiba-tiba menggigil perlahan. Lambat sikit baru aku perasan titisan yang menitis ke bawah itu. Titisan air matanya.

Dia dongakkan kepala dia perlahan-lahan. Muka dia merah padam. Macam nak cakap sesuatu. Tapi hanyut kepada emosi, dia kembali tunduk.

Aku tersentak. Tiba-tiba dada aku berdebar-debar. Aku tersentak melihat wajahnya. Wajah merah padam sambil pipi yang dibasahi air mata itu.

Mulut aku tiba-tiba berbicara memecahkan keheningan situasi. Meluahkan sesuatu tanpa kufikirkan akibatnya.

“Kau tinggal di sini sajalah”

Aku tak tahu dari mana datangnya kata-kata itu. Yang aku tau dada ni tak berhenti bergegar bila aku terpandang wajahnya.

Entahlah. Mungkin simpati. Atau….

Gadis Dari Sungai Petani Eps 4

Hari ni hari Ahad. Hari yang paling menggembirakan dalam hidup seseorang lelaki yang bekerjaya. Hari yang membolehkan aku berbaring dan membuihkan air liur basi di atas katil yang baru saja aku beli dari Courts Mammoth ni. Dah memang itu fungsi aku beli katil ni. Kalau tak, buat apa aku susah payah habiskan duit beli katil ni dari Courts Mammoth.

Dan semalam memang memenatkan. Budak Tina tu tak nak lepaskan aku langsung. Maaf la Tina, semalam aku tak ada mood nak ‘beriadah’. Mungkin malam ni. Lagipun katil ni kan baru saja aku beli dari Courts Mammoth. Sangat sesuai jadi teman riadah kita kan, Tina?

Tok! Tok! Tok!

Agaknya akal aku ni terlalu membayangkan fantasi ‘riadah’ bersama Tina. Sampaikan aku seolah-olah terdengar di cuping telinga ni Tina sedang mengetuk-ngetuk pintu rumahku. Merayu untuk masuk. Kepingin melihat katil yang ku beli dari Courts Mammoth. Kepingin untuk mencuba katil yang ku beli dari Courts Mammoth.

Tok! Tok! Tok!

Huh! Bukan mimpi. Bukan bayangan. Jelas aku tak bermimpi sekarang ni. Sebabnya aku dapat merasakan jelas air liur basi ni melimpah deras dari ruang tekak ke atas cadar baruku. Cadar yang aku tak beli dari Courts Mammoth, sekadar pasar malam hujung perumahan ini saja. Jadi, biarlah.

Tok! Tok! Tok!

Celaka betul. Pakistan mana yang datang jual karpet pagi-pagi buta ni? Walau jam di dinding sudah menunjukkan pukul 12.33. Biarlah, di Las Vegas, bukankah masih kategori pagi-pagi buta. Pakistan ni tak ada hak untuk menganggu tidurku.

Tok! Tok! Tok!

Aku datang la ni, sundal!

Tok! Tok! Tok!

Lahanat betul. Ketuk la. Arkitek yang mereka rumah ni memang pun mereka khas pintuk rumahku supaya mesra diketuk. Jadi pada mana-mana rakyat Malaysia yang ketagih nak mengetuk pintu, silakan ke rumah aku. Ketuk la sampai berlubang!

Siapa pula yang datang ni?

Kreakkkkk….

Pintu kubuka.

Di depanku bukanlah Tina. Jauh sekali seorang Pakistan yang cuba menjual karpet tenunan bangsanya yang mudah didapati di Jalan Masjid India.

Di depanku adalah seorang gadis berkulit sawa matang, berbaju kurung hijau, rambut paras bahu. Namun hanya tahi lalat yang melekat cantik di bibir kanan gadis itu yang menarik perhatian aku. Siapa dia ni?

“Abang, minta maaf. Boleh pinjamkan saya duit? Saya tak cukup duit nak bayar tambang teksi”

Aku dah ingat siapa gadis ni. Ya, apa dia buat kat sini?

Apa hal gadis dari Sungai Petani ni datang ke rumah aku?